22 PATI DI TAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU KHAS ESSCOM DI LAHAD DATU

22 PATI DI TAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU KHAS ESSCOM DI LAHAD DATU

LAHAD DATU (18 Oktober) – Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dalam satu Operasi Bersepadu Khas yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di empat lokasi berasingan di sekitar daerah ini, pada Selasa.

Komander ESSCOM, DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan, berkata operasi yang bermula dari jam 8 malam hingga 2 pagi itu disertai kira-kira 73 anggota penguatkuasa yang memberi tumpuan sekitar bandar Lahad Datu dan kawasan kampung berdekatan bagi mengesan dan menangkap PATI di samping mengesan penjualan barangan seludup.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan operasi katanya, termasuk kawasan Singamata Point, Kampung Bakau, Kampung Agaseh dan sekitar kawasan pusat bandar Lahad Datu.

“Sepanjang operasi berkenaan, ESSCOM telah memeriksa seramai 118 individu, namun selepas proses dokumentasi dilakukan terdapat seramai 22 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan
memiliki passport yang tamat tempoh.

“Sehubungan itu, mereka yang terdiri daripada 16 warga Filipina dan 6 warga Indonesia yang berumur antara 17 hingga 55 tahun itu, kini ditahan dan akan disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) 1959/63 (pindaan 2002),” katanya.

Dalam pada itu kata Hazani, dalam operasi sama yang dilaksanakan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah ini juga telah mengeluarkan sebanyak tujuh keping notis kepada pengguna jalan raya di sini atas pelbagai kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu serta serta tidak menampal pelekat ‘P’.

Sementara itu, Hazani merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan dan penguatkuasa yang terlibat bagi menjayakan operasi ini sehingga dapat dilaksanakan dengan baik tanpa sebarang masalah.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bagi menjayakan operasi ini yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am, Jabatan Kebajikan, MDLD dan Angkatan Tentera Malaysia.

“ESSCOM akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa dalam usaha untuk mengurang kehadiran PATI di daerah ini yang disyaki menjadi dalang disebalik aktiviti penyeludupan barang-barang bersubsidi dan terlarang seperti minyak petrol, rokok seludup dan Dadah jenis syabu,” katanya lagi.

Sumber: FB Esscom

Komen