200 rumah dikesan buat penyambungan elektrik haram di Kampung Hidayat

200 rumah dikesan buat penyambungan elektrik haram di Kampung Hidayat

POTONG: Kakitangan SESB berusaha membuat pemotongan wayar penyambungan haram di kawasan terbabit.
TAWAU: Lebih 200 rumah di Kampung Hidayat dikesan membuat penyambungan bekalan elektrik secara haram dalam Operasi Pancing yang dijalankan oleh pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di kampung itu, di sini kelmarin.

Pemangku Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, operasi itu dijalankan bermula seawal jam 4 pagi hingga 9 pagi dan diketuai oleh pasukan PDRM Tawau bersama beberapa agensi lain.

“Dalam operasi itu pihak kita berjaya merampas sebanyak 225 kilogram wayar elektrik dengan nilai rampasan sebanyak RM1,500,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Beliau berkata, operasi ini diberi nama ‘Operasi Pancing’ kerana cara penyambungan haram itu kebanyakannya menggunakan cara memancing kabel hidup yang terletak di atas tiang eletrik.

“Pihak SESB kerap mengadakan operasi itu kerana penyambungan haram banyak merugikan pihak SESB yang dianggarkan jumlah kerugian mencecah lebih dari RM10 juta setahun untuk negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, terdapat juga suspek yang menggunakan taktik mengganggu meter elektrik untuk menghindari bacaan meter dengan tepat dan disyaki untuk mengurangkan jumlah penggunaan secara salah.

“Saya memberi amaran kepada semua pengguna SESB bahawa kedua-dua cara itu amat berbahaya dimana boleh berlakunya renjatan elektrik ke atas tubuh manusia dan boleh mengganggu bekalan kepada pengguna berbayar,” katanya.

Nasser berkata operasi sebegini giat diadakan sejak beberapa tahun serta diteruskan sehingga masalah ini dapat diatasi sepenuhnya dan akan melibatkan agensi lain termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Tenaga, Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen.

. https://www.utusanborneo.com.my/2020/02/23/200-rumah-dikesan-buat-penyambungan-elektrik-haram-di-kampung-hidayat

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *