2 juragan ditahan cuba seludup keluar gas memasak

2 juragan ditahan cuba seludup keluar gas memasak

PASUKAN Polis Marin menahan dua lelaki kerana disyaki cuba menyeludup keluar barang kawalan di kawasan perairan Long Pond, Tawau. – Foto ihsan PPM

– Pix Ihsan PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki kerana cuba menyeludup keluar barang kawalan di kawasan perairan Long Pond, dekat sini, semalam.

Kedua-dua lelaki tempatan menggunakan dua bot, masing-masing berumur 19 dan 22 tahun ditahan sepasukan anggota PPM yang menjalankan operasi di kawasan berkenaan pada jam 3.30 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali dalam satu kenyataan hari ini, berkata enam tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram (kg) setiap satu ditemui disembunyikan di ruang tengah bot jongkong berkenaan.

“Kedua-dua juragan gagal menunjukkan sebarang permit atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan barang kawalan berjadual yang dibawa mereka,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Per 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. –bharian

Komen