1,400 pekerja Nepal mati bina stadium Piala Dunia – TV Jerman

1,400 pekerja Nepal mati bina stadium Piala Dunia – TV Jerman

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 1,400 pekerja asing dari Nepal mati dalam pembinaan stadium bola sepak bersempena Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar, lapor sebuah dokumentari TV.

Menurut data kerajaan Nepal, kemalangan di tapak pembinaan serta keadaan tempat tinggal pekerja di negara teluk yang amat menyedihkan meragut 110 nyawa setiap tahun.

Sebuah keluarga yang terkesan akibat kematian itu memberitahu penyiar Jerman, WDR, bahawa mereka langsung tidak menerima sebarang pampasan dari Doha akibat kematian tragik itu.

Dokumentari penyiasatan WDR berjudul ‘Trapped in Qatar’ Jumaat lalu mendedahkan kepayahan pekerja binaan yang terpaksa hidup di kem yang sesak dengan keperluan asas yang minimum.

Walaupun Nepal berusaha menghalang rakyatnya daripada mencari pekerjaan di Qatar, ramai masih berharap dapat mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih baik.

Seorang wartawan di Kathmandu, Dinesh Regimi yang menghabiskan masa tiga tahun di Qatar, berkata keadaan pekerja Nepal masih tidak berubah sejak Doha dipilih menjadi tuan rumah pertandingan bola sepak berprestij itu hampir sedekad lalu.

Sebahagian pekerja mati akibat terjatuh di tapak binaan, sakit dan cuaca panas.

“Ketika saya berada di sini beberapa tahun lalu, saya melihat penderitaan pekerja Nepal yang datang ke sini dengan harapan menggunung.

“Mereka dinafikan gaji pokok dengan tempat penginapan yang sangat daif selain kunjungan ke kedutaan Nepal di Doha bagi mendapatkan bantuan sering dipandang sepi,” kata Regimi kepada Arab News.

Pegawai kerajaan Jabatan Imigresen Nepal memberitahu Arab News bahawa pihaknya sedar akan situasi di Qatar dan kepayahan yang dihadapi pekerja Nepal.

“Kami cuba untuk tidak menggalakkan mereka pergi ke negara terbabit.” – Agensi

Komen