13 suspek pengganas dicekup

13 suspek pengganas dicekup

ANTARA 13 individu disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas yang ditahan dalam serbuan di Semporna dan Tambunan.

DUA BELAS warga Filipina dan seorang warga tempatan ditahan dalam serbuan di Semporna dan Tambunan, Sabah selepas disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas pada 11 dan 12 Mac lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi itu dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Unit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada 11 Mac lalu di Semporna membabitkan lima lelaki warga Filipina dan seorang lelaki tempatan berusia 40 hingga 60 tahun.

Empat daripada mereka disyaki terbabit dalam pertempuran bersama kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi, Filipina pada 2017.

“Mereka turut memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas Maute serta beberapa warga Timur Tengah yang bersembunyi di Sabah. Dua lagi suspek yang ditahan disyaki anggota kumpulan Royal Sulu Force (RSF) yang terbabit dalam insiden serangan di Lahad Datu dan Semporna pada 2013.

“Mereka turut terbabit dalam merekrut anggota baru RSF dengan menjual kad keahlian kumpulan itu dalam kalangan warga Filipina yang menetap di Sabah. Kedua-dua suspek terbabit melarikan diri ke selatan Filipina selepas kekalahan kumpulan RSF.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek menyusup masuk ke Semporna untuk mengaktifkan semula aktiviti Kumpulan RSF di Sabah pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, lima lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia antara 23 hingga 63 tahun pula ditahan dalam tangkapan kedua pada 11 Mac lalu di Tambunan, Sabah.

“Seorang daripada suspek ditahan bekerja sebagai buruh binaan dipercayai anggota kumpulan pengganas ASG yang pernah terbabit dalam insiden serangan di Bandar Marawi, Filipina. Suspek menyusup masuk ke Sabah pada Disember tahun lalu bersama anggota kumpulan berkenaan bagi mengelak daripada operasi ketenteraan pihak berkuasa Filipina.

“Sementara itu, lima lagi suspek ditahan kerana terbabit dalam memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas ASG dan kumpulan pengganas Maute yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan ketiga dilakukan pada 12 Mac di Tambunan, Sabah membabitkan seorang lelaki warga Filipina berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan.

“Suspek ditahan kerana memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas ASG dan kumpulan pengganas Maute yang masih bebas.

“Dengan tangkapan itu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas yakin dapat mengesan dan memburu saki-baki anggota kumpulan ASG dan kumpulan pengganas Maute yang bersembunyi di negara ini, terutamanya di Sabah,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut BAB VIA iaitu kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan siasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

“Dalam operasi ini, 10 warga Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah turut ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut,” katanya. –Hmetro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 11:43 AM

Komen