13.7 juta pekerja Malaysia tidak dilindungi PERKESO: TPM

13.7 juta pekerja Malaysia tidak dilindungi PERKESO: TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan kira-kira 13.7 juta pekerja di Malaysia pada ketika ini tidak dilindungi oleh sebarang bentuk polisi pelindungan keselamatan sosial.

Beliau berkata angka itu membimbangkan dan keadaan itu perlu ditangani. Menurut data Januari 2018 Jabatan Statistik, negara mempunyai 15.19 juta pekerja.

“Kerajaan komited untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial di negara ini untuk memastikan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat dilindungi oleh sistem keselamatan sosial yang mampan dan mampu,” katanya semasa melancarkan Forum Keselamatan Sosial Serantau bagi Asia dan Pasifik 2018, Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), di sini, semalam.

Mengakui kewujudan jenis kerja yang baharu yang dijana daripada Revolusi Industri 4.0, beliau menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk memperluaskan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 kepada pekerja dalam semua platform ekonomi baharu.

Beliau berkata jenis kerja baharu itu yang jauh berbeza daripada model kerja tradisional telah menyebabkan pekerja baharu berkenaan tidak dilindungi oleh sebarang bentuk program keselamatan sosial.

Dr Wan Azizah berkata pekerja dalam sektor tidak formal tidak seharusnya dilupakan, serta kumpulan lain yang mudah terdedah kepada bahaya seperti orang kurang upaya, orang berusia, suri rumah, kanak-kanak dan lapisan masyarakat yang lain.

“Untuk menangani ini, kita perlu mewujudkan sistem keselamatan sosial bersepadu di mana semua rakan kongsi sosial dapat berkongsi data mereka untuk memastikan faedah-faedah yang betul sampai kepada orang yang betul.

“Menerusi cara ini, semua rakan kongsi sosial di negara ini akan dapat beroperasi dengan lebih efisien dalam menyampaikan perlindungan sosial kepada orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa pentadbiran keselamatan sosial menggunakan pendekatan inovatif untuk mengekalkan faedah-faedah dan memperluaskan lagi perlindungan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan keselamatan sosial.

Beliau juga berkata pengamal keselamatan sosial perlu mula beralih daripada ‘pembayar’ kepada ‘pemain’ untuk memastikan faedah-faedah keselamatan sosial direka untuk memasukkan ‘memberi semula’ kepada masyarakat.

“Pembangunan dan pengurusan inovasi yang berjaya adalah faktor utama dalam menentukan kapasiti institusi untuk bekerja ke arah memperluaskan perlindungan dan menjamin kemampanan program keselamatan sosial,” kata Dr Wan Azizah.

Forum tiga hari bertemakan ‘Kecemerlangan Keselamatan Sosial: Meningkatkan Pelindungan Untuk Masyarakat Masa Depan’ itu dihadiri 400 peserta daripada 42 negara di rantau Asia Pasifik.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dan Presiden ISSA Dr Joachim Breuer. — Bernama

Komen